Monday, September 17, 2012


PENYAKIT KELAMIN (STI) - INFO SIHAT



Pengenalan

Apakah Penyakit Kelamin?

Penyakit kelamin boleh disebarkan melalui perhubungan seks. Ia juga dikenali sebagai sexually transmitted disease (STD) atau venereal disease (VD). Organisma yang menyebabkan penyakit kelamin adalah terdiri daripada bakteria, virus atau fungus.

Apakah Jenis-Jenis Penyakit Kelamin?

Berikut adalah jenis-jenis dan organisma yang terlibat:


Bagaimanakah Penyakit Kelamin Merebak?

Penyakit kelamin merebak melalui:
  • Perhubungan seks
  • Berdampingan secara fizikal dengan individu yang telah dijangkiti

Beberapa jenis penyakit kelamin boleh merebak melalui pemindahan cecair badan (air mani dan cecair dari faraj) daripada individu yang telah dijangkiti. Contohnya HIV, Hepatitis B, NGU, dan gonorea.

Sementara itu, jangkitan penyakit kelamin seperti sifilis, herpes dan warts boleh merebak melalui sentuhan kulit. Penyakit sifilis, hepatitis B dan HIV juga boleh merebak melalui ibu yang telah dijangkiti virus tersebut kepada bayinya ketika di dalam rahim atau sewaktu dilahirkan, penagih berkongsi jarum, atau pemindahan darah yang dijangkiti.

Tanda-Tanda Dan Gejala-Gejala

Apakah Tanda-Tanda Dan Gejala-Gejala Penyakit Kelamin?

Ia bergantung kepada jenis dan peringkat jangkitan tersebut. Kadangkala, pesakit tidak mempunyai sebarang tanda atau gejala (dikenali sebagai asymptomatic infection).

Tanda-tanda jangkitan ini ialah:
  • Lelehan dari kemaluan
  • Sakit semasa kencing
  • Luka atau ulser di bahagian kemaluan
  • Ketumbuhan di bahagian kemaluan
  • Bengkak kelenjar limfa di bahagian pangkal peha
  • Ruam di bahagian kemaluan dan anggota badan
  • Mata berair bagi bayi yang dijangkiti

Diagnosis Penyakit Kelamin
 
Bagaimanakah Diagnosis Atau Pengesahan Penyakit Kelamin Dilakukan?

Ujian darah dapat mengesahkan beberapa penyakit kelamin termasuk sifilis, hepatitis B dan HIV. Ada juga yang dapat disahkan melalui lelehan atau sampel cecair daripada kulit atau membran mukus.


Komplikasi

Sekiranya tidak dirawat awal, jangkitan kuman akan merebak ke organ lain menyebabkan komplikasi:
  • Bagi lelaki, boleh merebak ke bahagian testis, vesikel semen dan kelenjar prostat lalu menyebabkan kesakitan dan kemandulan.
  • Bagi wanita, ia boleh mengakibatkan kemandulan, mengandung luar rahim atau jangkitan pelvis.
  • Bagi bayi, jangkitan herpes boleh menyebabkan buta atau terencat akal. Congenital Syphilis di kalangan bayi menyebabkan kecacatan semasa kelahiran.

Terdapat beberapa jenis ketuat kemaluan yang menyebabkan kanser. Sebanyak 5-10 peratus penghidap hepatitis B menjadi pesakit kronik dan berisiko tinggi untuk mendapat kanser hati.

Rawatan

Adakah Penyakit Kelamin Boleh Dirawat Dan Disembuhkan?

Penyakit kelamin boleh dirawat dengan antibiotik, ubat anti-virus atau anti-parasit. Lebih daripada satu ubat diperlukan untuk merawat dan menyembuhkan penyakit kelamin. Tidak semua penyakit kelamin dapat disembuhkan.

Sesetengah penyakit kelamin boleh dirawat berdasarkan gejala-gejala seperti ulser di kemaluan, lelehan dari uretra dan faraj. Ia dipanggil sebagai Modified Syndromic Approach (MSA) yang terdapat di klinik kesihatan kerajaan. Rawatan awal boleh mencegah jangkitan daripada merebak dan komplikasi:
  • Dapatkan rawatan segera daripada doktor berdekatan bagi antibiotik yang bersesuaian
  • Jauhkan diri daripada hubungan seks sebelum mendapatkan pengesahan doktor bahawa anda telah sembuh
  • Jangan ambil rawatan sendiri kerana ia dapat merencatkan gejala jangkitan dan menyebabkan komplikasi akibat rawatan tidak lengkap
  • Pastikan pasangan anda mendapatkan pemeriksaan lanjut supaya rawatan awal dapat diberikan sekiranya dia dijangkiti.

Pencegahan

Amalkan Hubungan Seks Yang Selamat

Penyebaran jangkitan penyakit kelamin dapat dielakkan melalui langkah berikut:
  • Jauhi diri, jika boleh, daripada mengadakan hubungan seks
  • Setia kepada pasangan anda.
  • Amalkan hubungan seks yang selamat seperti menggunakan kondom
  • Jauhi diri daripada alkohol sebelum atau selepas hubungan seks kerana ia menyebabkan hilang penilaian anda

Suntikan Pelalian

Suntikan pelalian hepatitis B dapat memberikan perlindungan sepanjang hayat.

PENYAKIT TANGAN KAKI DAN MULUT


Baru-baru ini, kes penyakit tangan, kaki dan mulut di Sarawak telah dilaporkan meningkat sebanyak empat kali ganda iaitu daripada jumlah 213 kes kepada jumlah 806 kes berbanding dengan tahun lepas. Penyakit tersebut adalah disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus), sejenis virus yang biasanya terdapat dalam usus. Antaranya virus enterovirus 71 (EV71) adalah paling merbahaya. Demamnya adalah lebih tinggi (39 darjah ke atas) dan lebih daripada 3 hari. EV71 adalah penyebab kematian 31 orang kanak-kanak di Sarawak pada tahun 1997.
Penyakit ini biasanya menjangkiti kanak-kanak di bawah  umur 5 tahun, di mana kanak-kanak tersebut masih mempunyai sistem immuniti yang rendah, namum ia tidak menolak kemungkinan, ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat usia.
Risiko kanak-kanak untuk menjangkiti penyakit tersebut akan meningkat jika dia berada di pusat jagaan kanak-kanak atau tadika di mana tempat tersebut biasanya sesak dan mempunyai kanak-kanak yang banyak. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengarahkan pusat jagaan kanak-kanak atau tadika yang mempunyai dua atau lebih kes penyakit tangan, kaki dan mulut untuk ditutup.
Jangkitan ini berlaku disebabkan tidak mengamalkan kebersihan diri yang baik dan berada di tempat atau persekitaran yang sesak. Penyakit ini dijangkiti melalui kontak secara langsung dengan pesakit serta melalui najis, air liur dan lelehan dari hidung penyakit. Seseorang pesakit paling mudah menjangkiti orang lain dalam waktu seminggu terkena jangkitan. Ia tidak boleh merebak kepada atau daripada binatang.
Kebanyakan kes penyakit ini tidak serius. Namum begitu terdapat juga kes-kes teruk yang melibatkan sistem saraf dan jantung. Setiap ahli keluarga dinasihatkan mengamalkan kebersihan diri untuk mencegah jangkitan.
Tanda dan gejala penyakit:
  1. Ruam dengan lepuh di tapak tangan, kaki dan kawasan lampin
  2. Ulser di tekak dan mulut
  3. Deman
  4. Sakit kepala
  5. Hilang selera makan
  6. Kurang kencing
  7. Penat dan lemah
Tempoh pengeraman:
  1. Selepas seseorang itu dijangkiti kuman virus ini tempoh pengeramannya adalah di antara dua hingga enam hari.
  2. Gejala seperti demam dan ketidakselesaan pada mulut biasanya akan hilang pada hari ketiga atau keempat.
  3. Ulser mulut akan hilang pada hari kelima hingga ketujuh tetapi lepuh dan bintik-bintik merah di tangan, kaki akan hanya hilang dalam tempoh 10 hari.
Komplikasi
  1. Komplikasi biasanya disebabkan oleh kekeringan air dalam badan atau dehidrasi apabila kanak-kanak yang mendapat ulser mulut tidak boleh makan dan minum.
  2. Virus enterovirus juga menyasarkan sistem saraf, otak dan jantung mangsa menyebabkan radang otak meningitis dan inflamasi serta keradangan otot jantung (miokarditis).
  3. Kemungkinan juga berlakunya sawan berikutan demam panas.
  4. Kesemua komplikasi ini sangat berbahaya dan boleh membawa maut.
Langkah-langkah pencegahan
  1. Cuci tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, selepas ke tandas, selepas menukar lampin anak dan selepas mencuci najis anak
  2. Tutup mulut dan hidung dengan tisu apabila bersin atau batuk
  3. Jangan berkongsi barang-barang peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, cadar, cawan, sudu dan garpu
  4. Mandi dan tukar pakaian selepas pulang dari tempat kerja sebelum bermesra dengan bayi atau anak kecil
  5. Cuci alat mainan, permukaan meja, kerusi dan lantai yang dicemari air liur anak
  6. Elakkan membawa anak kecil ke tempat umum yang sesak seperti pusat membeli belah, pawagam, kolam renang, pasar dan stesen bas
Sekiranya anak-anak anda mempunyai tanda-tanda dan gejala penyakit tangan, kaki dan mulut:
  1. Bawa segera ke hospital atau klinik berhampiran
  2. Jangan hantar ke tadika, rumah pengasuh atau sekolah
  3. Lap lelehan dari mulut dan hidung menggunakan tisu

Perawatan untuk penyakit tangan, kaki dan mulut biasanya ialah menurunkan demam, mengurangkan kesakitan seperti sakit kepala dan sakit badan, Meningkat hidrasi pesakit dan perlukan rehat yang secukupnya. Gel kebas boleh diberikan untuk mengurangkan kesakitan ulser mulut. Buat sementara ini, masih tiada vaksinasi untuk penyakit ini.