Monday, September 17, 2012


PENYAKIT KELAMIN (STI) - INFO SIHAT



Pengenalan

Apakah Penyakit Kelamin?

Penyakit kelamin boleh disebarkan melalui perhubungan seks. Ia juga dikenali sebagai sexually transmitted disease (STD) atau venereal disease (VD). Organisma yang menyebabkan penyakit kelamin adalah terdiri daripada bakteria, virus atau fungus.

Apakah Jenis-Jenis Penyakit Kelamin?

Berikut adalah jenis-jenis dan organisma yang terlibat:


Bagaimanakah Penyakit Kelamin Merebak?

Penyakit kelamin merebak melalui:
  • Perhubungan seks
  • Berdampingan secara fizikal dengan individu yang telah dijangkiti

Beberapa jenis penyakit kelamin boleh merebak melalui pemindahan cecair badan (air mani dan cecair dari faraj) daripada individu yang telah dijangkiti. Contohnya HIV, Hepatitis B, NGU, dan gonorea.

Sementara itu, jangkitan penyakit kelamin seperti sifilis, herpes dan warts boleh merebak melalui sentuhan kulit. Penyakit sifilis, hepatitis B dan HIV juga boleh merebak melalui ibu yang telah dijangkiti virus tersebut kepada bayinya ketika di dalam rahim atau sewaktu dilahirkan, penagih berkongsi jarum, atau pemindahan darah yang dijangkiti.

Tanda-Tanda Dan Gejala-Gejala

Apakah Tanda-Tanda Dan Gejala-Gejala Penyakit Kelamin?

Ia bergantung kepada jenis dan peringkat jangkitan tersebut. Kadangkala, pesakit tidak mempunyai sebarang tanda atau gejala (dikenali sebagai asymptomatic infection).

Tanda-tanda jangkitan ini ialah:
  • Lelehan dari kemaluan
  • Sakit semasa kencing
  • Luka atau ulser di bahagian kemaluan
  • Ketumbuhan di bahagian kemaluan
  • Bengkak kelenjar limfa di bahagian pangkal peha
  • Ruam di bahagian kemaluan dan anggota badan
  • Mata berair bagi bayi yang dijangkiti

Diagnosis Penyakit Kelamin
 
Bagaimanakah Diagnosis Atau Pengesahan Penyakit Kelamin Dilakukan?

Ujian darah dapat mengesahkan beberapa penyakit kelamin termasuk sifilis, hepatitis B dan HIV. Ada juga yang dapat disahkan melalui lelehan atau sampel cecair daripada kulit atau membran mukus.


Komplikasi

Sekiranya tidak dirawat awal, jangkitan kuman akan merebak ke organ lain menyebabkan komplikasi:
  • Bagi lelaki, boleh merebak ke bahagian testis, vesikel semen dan kelenjar prostat lalu menyebabkan kesakitan dan kemandulan.
  • Bagi wanita, ia boleh mengakibatkan kemandulan, mengandung luar rahim atau jangkitan pelvis.
  • Bagi bayi, jangkitan herpes boleh menyebabkan buta atau terencat akal. Congenital Syphilis di kalangan bayi menyebabkan kecacatan semasa kelahiran.

Terdapat beberapa jenis ketuat kemaluan yang menyebabkan kanser. Sebanyak 5-10 peratus penghidap hepatitis B menjadi pesakit kronik dan berisiko tinggi untuk mendapat kanser hati.

Rawatan

Adakah Penyakit Kelamin Boleh Dirawat Dan Disembuhkan?

Penyakit kelamin boleh dirawat dengan antibiotik, ubat anti-virus atau anti-parasit. Lebih daripada satu ubat diperlukan untuk merawat dan menyembuhkan penyakit kelamin. Tidak semua penyakit kelamin dapat disembuhkan.

Sesetengah penyakit kelamin boleh dirawat berdasarkan gejala-gejala seperti ulser di kemaluan, lelehan dari uretra dan faraj. Ia dipanggil sebagai Modified Syndromic Approach (MSA) yang terdapat di klinik kesihatan kerajaan. Rawatan awal boleh mencegah jangkitan daripada merebak dan komplikasi:
  • Dapatkan rawatan segera daripada doktor berdekatan bagi antibiotik yang bersesuaian
  • Jauhkan diri daripada hubungan seks sebelum mendapatkan pengesahan doktor bahawa anda telah sembuh
  • Jangan ambil rawatan sendiri kerana ia dapat merencatkan gejala jangkitan dan menyebabkan komplikasi akibat rawatan tidak lengkap
  • Pastikan pasangan anda mendapatkan pemeriksaan lanjut supaya rawatan awal dapat diberikan sekiranya dia dijangkiti.

Pencegahan

Amalkan Hubungan Seks Yang Selamat

Penyebaran jangkitan penyakit kelamin dapat dielakkan melalui langkah berikut:
  • Jauhi diri, jika boleh, daripada mengadakan hubungan seks
  • Setia kepada pasangan anda.
  • Amalkan hubungan seks yang selamat seperti menggunakan kondom
  • Jauhi diri daripada alkohol sebelum atau selepas hubungan seks kerana ia menyebabkan hilang penilaian anda

Suntikan Pelalian

Suntikan pelalian hepatitis B dapat memberikan perlindungan sepanjang hayat.

PENYAKIT TANGAN KAKI DAN MULUT


Baru-baru ini, kes penyakit tangan, kaki dan mulut di Sarawak telah dilaporkan meningkat sebanyak empat kali ganda iaitu daripada jumlah 213 kes kepada jumlah 806 kes berbanding dengan tahun lepas. Penyakit tersebut adalah disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus), sejenis virus yang biasanya terdapat dalam usus. Antaranya virus enterovirus 71 (EV71) adalah paling merbahaya. Demamnya adalah lebih tinggi (39 darjah ke atas) dan lebih daripada 3 hari. EV71 adalah penyebab kematian 31 orang kanak-kanak di Sarawak pada tahun 1997.
Penyakit ini biasanya menjangkiti kanak-kanak di bawah  umur 5 tahun, di mana kanak-kanak tersebut masih mempunyai sistem immuniti yang rendah, namum ia tidak menolak kemungkinan, ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat usia.
Risiko kanak-kanak untuk menjangkiti penyakit tersebut akan meningkat jika dia berada di pusat jagaan kanak-kanak atau tadika di mana tempat tersebut biasanya sesak dan mempunyai kanak-kanak yang banyak. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengarahkan pusat jagaan kanak-kanak atau tadika yang mempunyai dua atau lebih kes penyakit tangan, kaki dan mulut untuk ditutup.
Jangkitan ini berlaku disebabkan tidak mengamalkan kebersihan diri yang baik dan berada di tempat atau persekitaran yang sesak. Penyakit ini dijangkiti melalui kontak secara langsung dengan pesakit serta melalui najis, air liur dan lelehan dari hidung penyakit. Seseorang pesakit paling mudah menjangkiti orang lain dalam waktu seminggu terkena jangkitan. Ia tidak boleh merebak kepada atau daripada binatang.
Kebanyakan kes penyakit ini tidak serius. Namum begitu terdapat juga kes-kes teruk yang melibatkan sistem saraf dan jantung. Setiap ahli keluarga dinasihatkan mengamalkan kebersihan diri untuk mencegah jangkitan.
Tanda dan gejala penyakit:
  1. Ruam dengan lepuh di tapak tangan, kaki dan kawasan lampin
  2. Ulser di tekak dan mulut
  3. Deman
  4. Sakit kepala
  5. Hilang selera makan
  6. Kurang kencing
  7. Penat dan lemah
Tempoh pengeraman:
  1. Selepas seseorang itu dijangkiti kuman virus ini tempoh pengeramannya adalah di antara dua hingga enam hari.
  2. Gejala seperti demam dan ketidakselesaan pada mulut biasanya akan hilang pada hari ketiga atau keempat.
  3. Ulser mulut akan hilang pada hari kelima hingga ketujuh tetapi lepuh dan bintik-bintik merah di tangan, kaki akan hanya hilang dalam tempoh 10 hari.
Komplikasi
  1. Komplikasi biasanya disebabkan oleh kekeringan air dalam badan atau dehidrasi apabila kanak-kanak yang mendapat ulser mulut tidak boleh makan dan minum.
  2. Virus enterovirus juga menyasarkan sistem saraf, otak dan jantung mangsa menyebabkan radang otak meningitis dan inflamasi serta keradangan otot jantung (miokarditis).
  3. Kemungkinan juga berlakunya sawan berikutan demam panas.
  4. Kesemua komplikasi ini sangat berbahaya dan boleh membawa maut.
Langkah-langkah pencegahan
  1. Cuci tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, selepas ke tandas, selepas menukar lampin anak dan selepas mencuci najis anak
  2. Tutup mulut dan hidung dengan tisu apabila bersin atau batuk
  3. Jangan berkongsi barang-barang peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, cadar, cawan, sudu dan garpu
  4. Mandi dan tukar pakaian selepas pulang dari tempat kerja sebelum bermesra dengan bayi atau anak kecil
  5. Cuci alat mainan, permukaan meja, kerusi dan lantai yang dicemari air liur anak
  6. Elakkan membawa anak kecil ke tempat umum yang sesak seperti pusat membeli belah, pawagam, kolam renang, pasar dan stesen bas
Sekiranya anak-anak anda mempunyai tanda-tanda dan gejala penyakit tangan, kaki dan mulut:
  1. Bawa segera ke hospital atau klinik berhampiran
  2. Jangan hantar ke tadika, rumah pengasuh atau sekolah
  3. Lap lelehan dari mulut dan hidung menggunakan tisu

Perawatan untuk penyakit tangan, kaki dan mulut biasanya ialah menurunkan demam, mengurangkan kesakitan seperti sakit kepala dan sakit badan, Meningkat hidrasi pesakit dan perlukan rehat yang secukupnya. Gel kebas boleh diberikan untuk mengurangkan kesakitan ulser mulut. Buat sementara ini, masih tiada vaksinasi untuk penyakit ini. 

Sunday, February 21, 2010

Apa itu Radio Amatur (amateur radio)?

Radio amatur merupakan salah satu daripada jenis komunikasi yang menggunakan peralatan radio dan elektronik. Penggunaan radio amatur di dalam bidang komunikasi amatlah luas kerana dapat digunakan bagi menghubungkan seorang yang berada samada di dalam kawasan atau ke seluruh dunia dengan menggunakan set radio amatur yang tertentu pada frekuensi yang tertentu. Seperti yang diketahui umum bahawa komunikasi menggunakan radio amatur hanyalah sekadar bercakap sahaja, tetapi apa yang berlaku kini dengan perkembangan teknologi komunikasi yang begitu pantas, sistem perhubungan yang dahulunya menggunakan sistem anolog kini telah bertukar kepada sistem digital yang membenarkan kita bukan hanya dapat bercakap sahaja malahan dapat melihat seperti sebuah televisyen yang boleh dipancarkan hampir ke sebahagian besar dunia. Kebanyakan daripada pengguna radio amatur memancarkan signal mereka melalui satelit yang berada pada orbit di dunia ataupun menggunakan bulan sebagai pemantul isyarat bagi memancarkan isyarat yang dipancarkan oleh set mereka.

Terdapat juga sebahagian daripada mereka berkomunikasi menggunakan "kod Morse". Pengendali radio amatur merupakan sebahagian dari penduduk dunia yang mempunyai syarat penggilannya (call sign) sendiri yang merupakan pasport untuk ke seluruh dunia melalui gelombang udara. Sempadan negara, ideologi politik, warna kulit, pangkat atau kedudukan seseorang adalah sama sekali tiada di dalam dunia radio amatur, namun masih terdapat sebahagian kecil lagi negara di dalam dunia ini masih tidak membenarkan penggunaannya di negara sebagai sebahagian dari aktiviti pada masa terluang.

Keseronokan menggunakan perhubungan radio amatur oleh pengendali-pengendalinya ke negara lain menyebabkan sesetengah darinya menghasilkan ikatan persahabatan yang berlarutan yang pada mulanya perjalanan yang jauh menggunakan kapal terbang untuk menemui mereka. Mereka yang dihubungi melalui radio sahaja bagi mengeratkan lagi persahabatan yang sedia ada sebelumnya.

Untuk semua

Radio amatur adalah untuk semua orang tanpa mengira jantina, umur, pangkat, agama, bangsa atau keupayaan. Sebagai seorang pengendali radio amatur, mereka akan dapat sesuatu yang menyeronokan dengan suatu sentuhan yang agung bagi kepuasan diri mereka. Di Malaysia juga sesiapa sahaja boleh menjadi ahli dan berhubung ke seluruh dunia. Radio amatur akan menyediakan suatu pengalaman yang amat baik untuk menjerumuskan diri kita ke dalam bidang elektronik yang semakin disertai ramai.

Dari sini dapatlah diperhatikan bahawa radio amatur boleh disertai oleh sesiapa sahaja dari golongan bawahan hingga ke peringkat atasan seperti Raja Hussein dari Jordan, Raja Juan Carlos dari Sepanyol, Senator Barry Goldwater dan ramai lagi yang menjadi sebahagian dari masyarakat radio amatur.

Cara beroperasi

Komunikasi melalui radio amatur tidak seperti penggunaan telefon bimbit kerana liputannya tidak terbatas kepada kawasan berpenduduk sahaja. Keupayaan radio amatur bergantung kepada antenanya dan juga jaluran (band) yang digunakan. Semakin tinggi antena (atau semakin banyak elemen sesebuah antena itu, semakin baik keupayaannya).

Di dalam keadaan darurat seperti bencana alam, peranan radio amatur amat menonjol di dalam memberikan kemudahan perhubungan. Contoh aplikasi radio amatur yang digunakan ketika bencana di Malaysia ialah ketika tragedi Highland Towers pada tanggal 11 Disember 1993 yang telah mengorbankan 48 nyawa, apabila MARES atau Malaysian Amateur Radio Emergency Service Society tampil memberikan kemudahan perhubungan komunikasi di antara lokasi runtuhan dengan hospital.

Secara asasnya, terdapat 2 jenis komunikasi di dalam radio amatur iaitu secara simpleks dan satu lagi melalui pancar ulang. Simpleks (simplex) merupakan kaedah perhubungan radio secara point to point. Seakan menggunakan radio FRS seperti Motorola Talkabout. Pancar ulang atau repeater pula merupakan perhubungan melalui sejenis peranti yang menerima (RX) dan menghantar (TX) kembali audio kita. Pancar ulang lazimnya terletak di kawasan tinggi seperti di gunung/bukit bagi membolehkan ia menerima dan menghantar semula audio ke tempat yang lain pada jarak yang lebih jauh.

Pancar ulang penting kerana ada kalanya komunikasi agak sukar kerana terlindung oleh halangan seperti struktur binaan manusia seperti bangunan mahupun muka alam seperti bukit dan gunung. Oleh yang demikian, bagi membolehkan audio disampaikan ke kawasan yang terlindung, pancar ulang diperlukan. Di Malaysia hampir kesemua pancar ulang dimiliki oleh persatuan radio amatur seperti MARES, ASTRA, MARTS dan JASRA yang boleh dimanfatkan oleh ahlinya untuk berkomunikasi dengan rakan lain samada secara lokal mahupun transnasional (seluruh negara).

Undang-undang

Lesen radio amatur di negara ini terbahagi kepada 2 kelas iaitu A dan B. Lesen B merupakan lesen asas yang dikeluarkan kepada calon yang lulus RAE. Lesen B membolehkan operator radio amatur mengendalikan radio pada julat dan kuasa pancaran (watt) yang lebih rendah berbanding pemegang lesen kelas A. Pemegang lesen kelas B akan mendapat callsign yang bermula dengan 9W2 atau disebut sebagai Nine-Whiskey-Two manakala pemegang lesen kelas A disebut sebagai 9M2 atau Nine-Mike-Two.

Mereka yang ingin mendapatkan lesen kelas A, perlu terlebih dahulu memiliki lesen kelas B untuk sekurang-kurangnya 1 tahun sebelum boleh memohon untuk menduduki ujian CW (continous wave) atau Kod Morse. Hanya mereka yang lulus sahaja akan diberikan lesen kelas A dan boleh mengendalikan perkakasan radio berkeupayaan tinggi selain boleh berhubung menggunakan Kod Morse hanya dengan menggunakan bateri berkuasa 9 volt.

Di Malaysia, perkhidmatan radio amatur dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia atau juga dikenali sebagai MCMC (www.mcmc.gov.my). Seseorang yang ingin menjadi mengoperasikan perkakasan radio komunikasi amatur perlu terlebih dahulu menduduki Peperiksaan Radio Amatur atau RAE (Radio Amateur Examination) yang dikelolakan oleh MCMC. Calon yang lulus akan dibenarkan untuk membuat permohonan untuk mengoperasikan perkakasan radio amatur dan diberikan callsign atau tanda pengenalan untuk berkomunikasi. Hanya selepas memperolehi AA atau Apparatus Assignment (penguntukan radas/lesen) dari MCMC, seseorang boleh mula ber"QSO" atau berbual di dalam jaluran. Setiap negara mempunyai badan yang bertanggungjawab memantau semua aktiviti yang berkaitan dengan radio amatur.